Pemilik Blog

Pemilik Blog
K.A.M.I

Thursday, 3 October 2013

KESANTUNAN BERBAHASA DALAM LAMAN SOSIAL (FACEBOOK)

     Teknologi maklumat dan komunikasi di Malaysia kian pesat berkembang sejajar dengan era globalisasi marcapada ini. Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) kini merupakan sebahagian daripada norma hidup masyarakat Malaysia. Tidak kira masyarakat di dalam mahupun di luar bandar kini mampu mengakses teknologi ini melalui media alam maya atau dalam erti kata lain, internet.

     Sejajar dengan kewujudan internet di dalam era modenisasi ini, kemunculan jaringan sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Tumblr, Youtube, Google dan banyak lagi yang kian menular di kalangan masyarakat Malaysia khususnya generasi muda. Di ruang ini, kami akan menjelaskan dengan lebih terperinci penggunaan Facebook yang secara langsung mahupun tidak langsung telah memberi impak yang besar kepada kesantunan berbahasa dalam kalangan masyarakat Malaysia.

     Perubahan modenisasi pada era ini diikuti dengan ledakan kuasa IT telah menggalakkan para generasi muda, khususnya, untuk menggunakan Facebook sebagai medan untuk merapatkan hubungan antara keluarga dan rakan taulan. Apakah kaitan pengaplikasian Facebook terhadap kesantunan berbahasa dalam kalangan masyarakat Malaysia?

     Penyakit menggunakan kata-kata sapaan  atau kata-kata panggilan  yang kasar atau kurang sopan kini telah menjadi kebiasaan di kalangan Facebooker( mereka yang mempunyai akaun di Facebook) dalam pertuturan atau perbualan mereka di Facebook. Mereka membahasakan orang yang lebih tua atau lebih berpangkat daripada mereka dengan kata ganti “awak”, “engkau”, “kamu” yang sememangnya jika dilihat dari konsep kesantunan bahasa Melayu, dianggap sebagai kurang sopan, kasar dan biadab. Seharusnya, kata ganti nama yang halus dan bersopan seperti “pak cik”, “mak cik”, “saudara”, “saudari”, “anda”, “tuan” dan “puan” wajar dipraktikkan dalam perbualan seharian sama ada dalam alam maya seperti Facebook mahupun perbualan di alam realiti.

     Fenomena bahasa rojak, slanga dan segala bentuk bahasa yang mewakili realiti sosial kian berleluasa di kalangan masyarakat Malaysia pada abad ini. Banyak perkataan yang memang tidak dapat dinafikan lagi, merupakan bahasa yang kasar, mencarut dan tidak bersopan kerap digunakan dalam laman Facebook ini. Antaranya ialah “usha”, “giler”, “sekodeng”, “rembat”, “poyo”, “sengkek” dan “palat”. Bahasa sedemikian sering digunakan oleh remaja hari ini dan memang agak sukar untuk orang lain menterjemahkan maksudnya dengan tepat, melainkan kelompok mereka sendiri.

     Sekiranya isu ini tidak dibendung dari awal lagi, golongan yang kerap mempraktikkan bahasa yang kasar dan kurang sopan kelak akan hanyut dalam alam mereka sendiri. Konsep berbudi bahasa serta kesantunan tidak lagi akan menjadi pegangan ekoran pengamalan sikap berpoya-poya, rasa hilang malu dan adab, melanggar tertib, dan peraturan dalam jaringan sosial Facebook, yang sedikit sebanyak telah menjadi sebahagian dalam mewarnai perwatakan masyarakat tersebut. Malahan, ada juga isu beberapa pengguna TMK tergamak menghina Yang di-Pertuan Agong di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.



Sumber: http://malaysianreview.com/16934/hina-agong-hun-keat-wong-shuh-chien-loo-serah-diri/



















Sumber: http://www.malaysia-today.net/mtcolumns/beritakomentar/57194-skmm-tahan-suspek-hina-agong-di-facebook

     Remaja dianggap sebagai tulang belakang negara yang kelak akan dipertanggungjawab untuk mengambil alih tampuk  pimpinan keluarga, masyarakat dan negara. Jikalau golongan masyarakat ini, khususnya para remaja, terus alpa dengan gaya hidup mereka yang tidak mengamalkan konsep kesantunan dalam kehidupan seharian, sudah pasti negara Malaysia pada masa hadapan akan menjadi huru-hara.

     Justeru itu, dalam usaha menangani isu ini, peranan institusi keluarga adalah yang paling utama dalam mendidik generasi muda dalam mempraktikkan gaya pertuturan atau perbualan yang sopan dan teratur. Di sini kami ingin menekankan bahawa para ibu bapa perlu tegas dalam mendidik anak-anak mereka. Hal ini demikan agar generasi muda ini alpa dengan disiplin dan pertuturan bahasa yang sopan tidak kira di mana mereka berada.

     Selain itu, pihak sekolah juga perlu memainkan peranan mereka dalam mendidik generasi muda dalam kesantunan berbahasa. Pihak sekolah bukan sahaja perlu memantau para pelajar dari segi tingkah laku mereka, malahan peradaban mereka terutama sekali dari segi pertuturan yang diucapkan semasa mereka berada di dalam dan luar sekolah.

     Kesimpulannya, kita tidak patut melengahkan masa lagi dalam menerapkan pengamalan nilai murni ke dalam diri masyarakat khususnya para remaja, melalui kesantunan berbahasa. Hal ini adalah kerana nilai kesantunan menggambarkan hati budi, akal budi dan sahsiah atau peribadi seseorang individu. Sesungguhnya, negara Malaysia patut melahirkan generasi yang bukan sahaja mempunyai personaliti yang berketrampilan, malahan juga menunjukkan sahsiah yang boleh menjadi kebanggaan negara kita dengan berkepribadian mulia.

Wednesday, 2 October 2013

BAHASA MELAYU DALAM TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (TMK)

Apakah teknologi?
     Teknologi merupakan satu konsep yang luas dan mempunyai lebih daripada satu takrifan. Pertama sekali ialah pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk menyelesaikan masalah manusia. Istilah teknologi selalunya berkait rapat dengan rekaan dan aksesori menggunakan prinsip sains dan proses terkini. Namun, rekaan lama seperti tayar masih menunjukkan teknologi. Maksud yang kedua digunakan dalam bidang ekonomi, yakni teknologi dilihat sebagai tahap pengetahuan semasa dalam menggabungkan sumber bagi menghasilkan produk yang dikehendaki. Oleh itu, teknologi akan berubah apabila pengetahuan teknikal kita berubah (Wikipedia, 2007).

Apakah hubungan teknologi dengan maklumat dan komunikasi?
     Teknologi Maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology) atau ICT merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Ruang lingkup tajuknya sangat luas, iaitu  berkenaan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudah dapat dikatakan sebagai penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu (Wikipedia, 2007).
     Teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) wujud berdasarkan perkembangan dan kemajuan pesat dalam bidang mikroelektronik yang menghasilkan kemudahan teknologi seperti komputer meja dan komputer riba, jaringan internet, e-mel, laman sesawang dan sebagainya. Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang digunakan dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) pada peringkat antarabangsa. Namun demikian, Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu juga mampu menggalas tanggungjawab penting untuk menyebarkan  ilmu dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) kepada masyarakat di Malaysia.

Apakah pula hubungan bahasa dengan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK)? 
     Bahasa merupakan alat untuk berhubung antara anggota masyarakat. Komunikasi ini dilakukan secara meluas, baik secara rasmi atau tidak rasmi. Masyarakat pada hari ini perlu menerima hakikat bahawa perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) berkait secara langsung dengan kemampuan menjana idea, kreativiti dan inovasi bagi memantapkan penggunaan Bahasa Melayu.

Cabaran Bahasa Melayu
      Kesantunan berbahasa semakin luntur dalam kalangan  masyarakat Malaysia terutamanya dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. Secara amnya, budaya kesantunan berbahasa diwarisi oleh kita sejak turun temurun kerana masyarakat Malaysia kaya dengan kesopanan, keluhuran, ketertiban, hormat, merendah diri, serta penggunaan suara yang baik dan menyenangkan.
     Pada era ledakan teknologi ini, keutamaan tidak diberikan lagi kepada kesantunan berbahasa. Penggunaan bahasa yang suka membangga diri, memaki hamun, memfitnah, memprovokasi, mengejek dan merendahkan orang lain sedang berleluasa. Perkara ini jelas menunjukkan penghakisan budaya ketimuran dan kesantunan berbahasa selain menggambarkan citra dan peribadi bangsa yang negatif. Sepatutnya, bahasa diangkat sebagai medium yang menggabungkan pemikiran, kesopanan, keintelektualan dengan budaya masyarakat  Melayu.







Sumber: https://www.facebook.com/

     Perkembangan era globalisasi memberikan cabaran baru kepada Bahasa Melayu. Perkembangan pesat dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) melahirkan unsur baru yang dikenali sebagai bahasa rojak.  Bahasa rojak semakin berkembang luas dalam kalangan pengguna bahasa iaitu penggunaan Bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan Bahasa Inggeris. Kelahiran K-Ekonomi pula telah membawa perubahan besar kepada semua bentuk perlakuan dan pemikiran manusia.
     Penggunaan Bahasa Melayu dalam internet juga perlu dipertingkatkan agar seiring dengan penggunaan bahasa-bahasa utama lain di dunia. Penggunaan Bahasa Melayu dalam ruang siber ini menyebabkan berlakunya perubahan yang ketara khususnya ruang sembang siber yang memperlihatkan unsur bahasa yang unik dan tersendiri yakni Bahasa Melayu internet. Muncul perkataan seperti kang (nanti), a’kum (assalamualaikum), tipon (telefon), persal (mengapa), nko (engkau) dan lain-lain. Fenomena ini merupakan unsur perubahan yang dikhuatiri akan mencemarkan nilai-nilai asli dalam Bahasa Melayu. Ayat-ayat yang terbentuk juga tidak mematuhi hukum tatabahasa Bahasa Melayu dan kelihatan janggal. Inilah yang perlu disedari oleh pengguna internet yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai wadah komunikasi agar tidak menggunakan Bahasa Melayu sesuka hati tanpa mengambil kira soal peraturan yang sedia ada.
     Penggunaan bahasa yang tidak sopan  juga berpunca daripada pengaruh media massa. Bahasa yang digunakan dalam majalah terutamanya, sering kali ditemukan bahasa yang tidak elok seperti “kau dah gila?”, “bodoh betullah kau ni”, “bengap betul budak ni” dan sebagainya. Bukan sahaja dalam medium teknologi maklumat dan komunikasi sahaja tidak mementingkan budaya kesantunan berbahasa malahan media khususnya saluran radio masih menampakkan kegagalan untuk mempraktikkan unsur kesopanan berbahasa dengan baik. Gagal mengenal pasti penggunaan kata ganti diri yang tepat. Misalnya, terdapat iklan mempromosi pakaian yang menggunakan kata ganti diri ‘kamu’ yang tidak sesuai . Hal yang sama terjadi dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi di mana aspek usia, taraf pendidikan dan status gelaran tidak diambil perhatian . Contohnya, dalam laman sosial , kata ganti nama “kau” selalu digunakan dalam artikel rasmi yang dimuat naik untuk makluman semua pihak. Dalam konteks ini, orang dewasa yang membaca artikel sebegini berasa seolah-olah tidak dihormati
     Bahasa rojak dikatakan lebih santai dan tidak begitu formal, sama seperti penggunaan Bahasa Melayu pasar. Justeru, penekanan terhadap penggunaan Bahasa Melayu yang betul harus diutamakan khususnya dalam laman sesewang yang dikendalikan oleh anak Malaysia, walaupun menggunakan dwibahasa. Amalan berbahasa yang baik dan betul perlu dipupuk dan dibajai daripada peringkat sekolah lagi dan secara menyeluruh mencapai segenap anggota masyarakat. Hanya dengan cara ini sahajalah, Bahasa Melayu akan mendapat tempat yang sewajarnya dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi  (TMK). 

Sumber : http://bahasamelayudnisenu.blogspot.com/2010/07/bahasa-melayu-dalam-teknologi-maklumat.html

Kesantunan

                 Masyarakat zaman sekarang tidak menghiraukan langsung gaya serta nada bahasa yang dicakap kerana mereka hanya mahu pendengar faham .Hal ini membuktikan bahawa seseorang itu menyampaikan idea yang ada dalam fikiran sehingga lupa mematuhi norma budaya dan tatacara komunikasi verbal yang baik dan sopan. Secara tidak langsung keadaan ini telah menghakis sedikit demi sedikit nilai-nilai berbudi dan santun yang selama ini menjadi pasak kemegahan budaya dan bangsa. Krisis ini berlaku tidak mengira peringkat umur, status dan pangkat sama ada golongan kanak-kanak, remaja, dewasa bahkan sektor awam yang seharusnya menjunjung etika berbahasa dalam memberi khidmat kepada masyarakat semakin kurang ditekankan.

            Kesannya, segala nilai negatif seperti sombong, angkuh, bersikap tidak acuh, ego, tidak beradat bahkan kurang ajar berlaku yang boleh membantutkan kelancaran komunikasi. Meskipun kesan kesantunan berbeza-beza mengikut jenis sapaan Kepelbagaian sistem sapaan dalam bahasa Melayu dengan mudah telah menggariskan kepelbagaian fungsi bentuk sapaan yang lebih sesuai dan sopan untuk digunakan bagi menggantikan bentuk sapaan ‘kamu’ iaitu‘ anda’.

            Dalam konteks komunikasi verbal dua hala, berlaku pengucapan sebenarnya boleh menyinggung hati dan perasaan orang lain terutamanya apabila berlaku antara dua peringkat umur yang berbeza. Kadang kala tidak dinafikan bahawa ada sesetengah remaja tidak sedar dengan kesalahan penggunaan kata nama diri kepada orang yang lebih tua. Hal ini berlaku kerana remaja terlalu terikut –ikut dengan pengggunaan kata ganti  nama diri yang tidak sopan dengan kawan –kawan.Kesantunan berbahasa bukan sahaja perlu diamalkan apabila berkomunikasi dengan orang tua malah perlu diamalkan dalam keluarga , antara rakan dan sesiapa sahaja tanpa mengira batas umur kerana  keindahan bahasa yang dipertuturkan melambangkan kemegahan sesebuah bangsa.

           
     Selain untuk menggambarkan sahsiah bangsa, kesantunan berbahasa bertujuan untuk melancarkan komunikasi sosial. Akan tetapi, berlakunya krisis kesantunan berbahasa ini sebenarnya tiada lain akibat pengaruh persekitaran, lakonan masyarakat kita sendiri selain pengaruh media yang dilihat amat mudah mempengaruhi perilaku berbahasa anak-anak muda.  Seringkali juga kita berhadapan dengan situasi tiadanya kesedaran mengutamakan soal hormat dan ketertiban terutamanya dalam kalangan remaja dengan cara mengucapkan salam sapaan tanda hormat sebelum memulakan bicara khususnya dalam situasi tidak formal.

            Pada kebiasaannya,  komunikasi tidak formal tidak terikat kepada peraturan linguistik, yang dipentingkan ialah keselesaan dan kesalingfahaman (cooperative principle) pendengar. Namun begitu, dalam konteks berbahasa tentu sekali menyakitkan hati apabila ada remaja yang berhajatkan sesuatu kepada kita tidak langsung mengucapkan salam terlebih dahulu.Sebenarnya, di mana terjadinya silap dalam membentuk kesantunan berbahasa dalam kalangan ank muda. Dalam hal ini, pendedahan sivik dan pengetahuan sosiolinguistik perlu  diterapkan sejak  di peringkat sekolah rendah agar memberi manfaat kepada pelajar untuk disesuaikan dengan masyarakat luar kelak.

            Secara kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu untuk menerapkan penggunaan bahasa yang sopan dan betul sebelum nasi menjadi bubur. Ibu bapa dan institusi pendidikan sama ada di peringkat sekolah atau IPT perlu memberikan penekanan yang efektif  terhadap aspek kesantunan dalam proses belajar dan mengajarkan bahasa yang seharusnya dilakukan secara bersepadu dan kolektif. Misalnya, penggunaan ragam bahasa yang bersesuaian dengan situasi, mengambil kira bagaimana dan bila kita harus menunggu giliran untuk bercakap atau mencelah dan bila masanya kita harus diam dan mengakhiri sesuatu perbicaraan juga menjadi komponen yang tidak kurang pentingnya dalam objektif kita mewujudkan gaya hidup yang sempurna dan penuh dengan nilai kesantunan agar keperibadian bangsa yang luhur, dihormati dan disegani dapat dikekalkan.

 Sumber : Pensyarah Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Melaka