Teknologi maklumat dan komunikasi di
Malaysia kian pesat berkembang sejajar dengan era globalisasi marcapada ini. Memang
tidak dapat dinafikan lagi bahawa penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi
(TMK) kini merupakan sebahagian daripada norma hidup masyarakat Malaysia. Tidak
kira masyarakat di dalam mahupun di luar bandar kini mampu mengakses teknologi
ini melalui media alam maya atau dalam erti kata lain, internet.
Sejajar dengan kewujudan internet di dalam
era modenisasi ini, kemunculan jaringan sosial seperti Facebook, Twitter,
Instagram, Tumblr, Youtube, Google dan banyak lagi yang kian menular di
kalangan masyarakat Malaysia khususnya generasi muda. Di ruang ini, kami akan
menjelaskan dengan lebih terperinci penggunaan Facebook yang secara langsung mahupun
tidak langsung telah memberi impak yang besar kepada kesantunan berbahasa dalam
kalangan masyarakat Malaysia.
Perubahan modenisasi pada era ini diikuti
dengan ledakan kuasa IT telah menggalakkan para generasi muda, khususnya, untuk
menggunakan Facebook sebagai medan untuk merapatkan hubungan antara keluarga
dan rakan taulan. Apakah kaitan pengaplikasian Facebook terhadap kesantunan
berbahasa dalam kalangan masyarakat Malaysia?
Penyakit menggunakan kata-kata sapaan atau kata-kata panggilan yang kasar atau kurang sopan kini telah
menjadi kebiasaan di kalangan Facebooker(
mereka yang mempunyai akaun di Facebook) dalam pertuturan atau perbualan mereka
di Facebook. Mereka membahasakan orang yang lebih tua atau lebih berpangkat
daripada mereka dengan kata ganti “awak”, “engkau”, “kamu” yang sememangnya
jika dilihat dari konsep kesantunan bahasa Melayu, dianggap sebagai kurang
sopan, kasar dan biadab. Seharusnya, kata ganti nama yang halus dan bersopan
seperti “pak cik”, “mak cik”, “saudara”, “saudari”, “anda”, “tuan” dan “puan”
wajar dipraktikkan dalam perbualan seharian sama ada dalam alam maya seperti
Facebook mahupun perbualan di alam realiti.
Fenomena bahasa rojak, slanga dan segala
bentuk bahasa yang mewakili realiti sosial kian berleluasa di kalangan
masyarakat Malaysia pada abad ini. Banyak perkataan yang memang tidak dapat
dinafikan lagi, merupakan bahasa yang kasar, mencarut dan tidak bersopan kerap
digunakan dalam laman Facebook ini. Antaranya ialah “usha”, “giler”,
“sekodeng”, “rembat”, “poyo”, “sengkek” dan “palat”. Bahasa sedemikian sering
digunakan oleh remaja hari ini dan memang agak sukar untuk orang lain
menterjemahkan maksudnya dengan tepat, melainkan kelompok mereka sendiri.
Sekiranya
isu ini tidak dibendung dari awal lagi, golongan yang kerap mempraktikkan
bahasa yang kasar dan kurang sopan kelak akan hanyut dalam alam mereka sendiri.
Konsep berbudi bahasa serta kesantunan tidak lagi akan menjadi pegangan ekoran
pengamalan sikap berpoya-poya, rasa hilang malu dan adab, melanggar tertib, dan
peraturan dalam jaringan sosial Facebook, yang sedikit sebanyak telah menjadi
sebahagian dalam mewarnai perwatakan masyarakat tersebut. Malahan, ada juga isu
beberapa pengguna TMK tergamak menghina Yang di-Pertuan Agong di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.
Sumber: http://malaysianreview.com/16934/hina-agong-hun-keat-wong-shuh-chien-loo-serah-diri/
Sumber: http://www.malaysia-today.net/mtcolumns/beritakomentar/57194-skmm-tahan-suspek-hina-agong-di-facebook
Sumber: http://www.malaysia-today.net/mtcolumns/beritakomentar/57194-skmm-tahan-suspek-hina-agong-di-facebook
Remaja dianggap sebagai tulang belakang
negara yang kelak akan dipertanggungjawab untuk mengambil alih tampuk pimpinan keluarga, masyarakat dan negara.
Jikalau golongan masyarakat ini, khususnya para remaja, terus alpa dengan gaya
hidup mereka yang tidak mengamalkan konsep kesantunan dalam kehidupan seharian,
sudah pasti negara Malaysia pada masa hadapan akan menjadi huru-hara.
Justeru itu, dalam usaha menangani isu
ini, peranan institusi keluarga adalah yang paling utama dalam mendidik
generasi muda dalam mempraktikkan gaya pertuturan atau perbualan yang sopan dan
teratur. Di sini kami ingin menekankan bahawa para ibu bapa perlu tegas dalam
mendidik anak-anak mereka. Hal ini demikan agar generasi muda ini alpa dengan
disiplin dan pertuturan bahasa yang sopan tidak kira di mana mereka berada.
Selain itu, pihak sekolah juga perlu
memainkan peranan mereka dalam mendidik generasi muda dalam kesantunan
berbahasa. Pihak sekolah bukan sahaja perlu memantau para pelajar dari segi
tingkah laku mereka, malahan peradaban mereka terutama sekali dari segi
pertuturan yang diucapkan semasa mereka berada di dalam dan luar sekolah.
Kesimpulannya, kita tidak patut
melengahkan masa lagi dalam menerapkan pengamalan nilai murni ke dalam diri
masyarakat khususnya para remaja, melalui kesantunan berbahasa. Hal ini adalah
kerana nilai kesantunan menggambarkan hati budi, akal budi dan sahsiah atau
peribadi seseorang individu. Sesungguhnya, negara Malaysia patut melahirkan
generasi yang bukan sahaja mempunyai personaliti yang berketrampilan, malahan
juga menunjukkan sahsiah yang boleh menjadi kebanggaan negara kita dengan
berkepribadian mulia.
No comments:
Post a Comment