Apakah
teknologi?
Teknologi
merupakan satu konsep yang luas dan mempunyai lebih daripada satu takrifan. Pertama
sekali ialah pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk
menyelesaikan masalah manusia. Istilah teknologi selalunya berkait rapat dengan
rekaan dan aksesori menggunakan prinsip sains dan proses terkini. Namun, rekaan
lama seperti tayar masih menunjukkan teknologi. Maksud yang kedua digunakan
dalam bidang ekonomi, yakni teknologi dilihat sebagai tahap pengetahuan semasa
dalam menggabungkan sumber bagi menghasilkan produk yang dikehendaki. Oleh itu,
teknologi akan berubah apabila pengetahuan teknikal kita berubah (Wikipedia,
2007).
Apakah
hubungan teknologi dengan maklumat dan komunikasi?
Teknologi
Maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(Information and Communication Technology) atau ICT merupakan teknologi yang
diperlukan untuk pemprosesan data. Ruang lingkup tajuknya sangat luas,
iaitu berkenaan segala aspek dalam
pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudah dapat dikatakan
sebagai penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi,
memproses, memindah, melihat dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan
waktu (Wikipedia, 2007).
Teknologi
maklumat dan komunikasi (TMK) wujud berdasarkan perkembangan dan kemajuan pesat
dalam bidang mikroelektronik yang menghasilkan kemudahan teknologi seperti
komputer meja dan komputer riba, jaringan internet, e-mel, laman sesawang dan
sebagainya. Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang digunakan dalam teknologi
maklumat dan komunikasi (TMK) pada peringkat antarabangsa. Namun demikian,
Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu juga mampu menggalas tanggungjawab penting
untuk menyebarkan ilmu dalam bidang
teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) kepada masyarakat di Malaysia.
Apakah
pula hubungan bahasa dengan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK)?
Bahasa
merupakan alat untuk berhubung antara anggota masyarakat. Komunikasi ini
dilakukan secara meluas, baik secara rasmi atau tidak rasmi. Masyarakat pada
hari ini perlu menerima hakikat bahawa perkembangan teknologi maklumat dan
komunikasi (TMK) berkait secara langsung dengan kemampuan menjana idea,
kreativiti dan inovasi bagi memantapkan penggunaan Bahasa Melayu.
Cabaran
Bahasa Melayu
Kesantunan berbahasa semakin luntur
dalam kalangan masyarakat Malaysia
terutamanya dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. Secara amnya,
budaya kesantunan berbahasa diwarisi oleh kita sejak turun temurun kerana
masyarakat Malaysia kaya dengan kesopanan, keluhuran, ketertiban, hormat,
merendah diri, serta penggunaan suara yang baik dan menyenangkan.
Pada era
ledakan teknologi ini, keutamaan tidak diberikan lagi kepada kesantunan
berbahasa. Penggunaan bahasa yang suka membangga diri, memaki hamun, memfitnah,
memprovokasi, mengejek dan merendahkan orang lain sedang berleluasa. Perkara
ini jelas menunjukkan penghakisan budaya ketimuran dan kesantunan berbahasa
selain menggambarkan citra dan peribadi bangsa yang negatif. Sepatutnya, bahasa
diangkat sebagai medium yang menggabungkan pemikiran, kesopanan,
keintelektualan dengan budaya masyarakat
Melayu.
Sumber: https://www.facebook.com/
Perkembangan era globalisasi memberikan cabaran baru kepada Bahasa Melayu. Perkembangan pesat dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) melahirkan unsur baru yang dikenali sebagai bahasa rojak. Bahasa rojak semakin berkembang luas dalam kalangan pengguna bahasa iaitu penggunaan Bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan Bahasa Inggeris. Kelahiran K-Ekonomi pula telah membawa perubahan besar kepada semua bentuk perlakuan dan pemikiran manusia.
Penggunaan
Bahasa Melayu dalam internet juga perlu dipertingkatkan agar seiring dengan
penggunaan bahasa-bahasa utama lain di dunia. Penggunaan Bahasa Melayu dalam
ruang siber ini menyebabkan berlakunya perubahan yang ketara khususnya ruang
sembang siber yang memperlihatkan unsur bahasa yang unik dan tersendiri yakni
Bahasa Melayu internet. Muncul perkataan seperti kang (nanti), a’kum
(assalamualaikum), tipon (telefon), persal (mengapa), nko (engkau) dan
lain-lain. Fenomena ini merupakan unsur perubahan yang dikhuatiri akan
mencemarkan nilai-nilai asli dalam Bahasa Melayu. Ayat-ayat yang terbentuk juga
tidak mematuhi hukum tatabahasa Bahasa Melayu dan kelihatan janggal. Inilah
yang perlu disedari oleh pengguna internet yang menggunakan Bahasa Melayu
sebagai wadah komunikasi agar tidak menggunakan Bahasa Melayu sesuka hati tanpa
mengambil kira soal peraturan yang sedia ada.
Penggunaan
bahasa yang tidak sopan juga berpunca
daripada pengaruh media massa. Bahasa yang digunakan dalam majalah terutamanya,
sering kali ditemukan bahasa yang tidak elok seperti “kau dah gila?”, “bodoh
betullah kau ni”, “bengap betul budak ni” dan sebagainya. Bukan sahaja dalam
medium teknologi maklumat dan komunikasi sahaja tidak mementingkan budaya
kesantunan berbahasa malahan media khususnya saluran radio masih menampakkan
kegagalan untuk mempraktikkan unsur kesopanan berbahasa dengan baik. Gagal
mengenal pasti penggunaan kata ganti diri yang tepat. Misalnya, terdapat iklan
mempromosi pakaian yang menggunakan kata ganti diri ‘kamu’ yang tidak sesuai .
Hal yang sama terjadi dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi di mana
aspek usia, taraf pendidikan dan status gelaran tidak diambil perhatian .
Contohnya, dalam laman sosial , kata ganti nama “kau” selalu digunakan dalam
artikel rasmi yang dimuat naik untuk makluman semua pihak. Dalam konteks ini,
orang dewasa yang membaca artikel sebegini berasa seolah-olah tidak dihormati
Bahasa rojak
dikatakan lebih santai dan tidak begitu formal, sama seperti penggunaan Bahasa
Melayu pasar. Justeru, penekanan terhadap penggunaan Bahasa Melayu yang betul
harus diutamakan khususnya dalam laman sesewang yang dikendalikan oleh anak
Malaysia, walaupun menggunakan dwibahasa. Amalan berbahasa yang baik dan betul
perlu dipupuk dan dibajai daripada peringkat sekolah lagi dan secara menyeluruh
mencapai segenap anggota masyarakat. Hanya dengan cara ini sahajalah, Bahasa
Melayu akan mendapat tempat yang sewajarnya dalam dunia teknologi maklumat dan
komunikasi (TMK).
Sumber : http://bahasamelayudnisenu.blogspot.com/2010/07/bahasa-melayu-dalam-teknologi-maklumat.html
No comments:
Post a Comment