Pemilik Blog

Pemilik Blog
K.A.M.I

Wednesday, 2 October 2013

Kesantunan

                 Masyarakat zaman sekarang tidak menghiraukan langsung gaya serta nada bahasa yang dicakap kerana mereka hanya mahu pendengar faham .Hal ini membuktikan bahawa seseorang itu menyampaikan idea yang ada dalam fikiran sehingga lupa mematuhi norma budaya dan tatacara komunikasi verbal yang baik dan sopan. Secara tidak langsung keadaan ini telah menghakis sedikit demi sedikit nilai-nilai berbudi dan santun yang selama ini menjadi pasak kemegahan budaya dan bangsa. Krisis ini berlaku tidak mengira peringkat umur, status dan pangkat sama ada golongan kanak-kanak, remaja, dewasa bahkan sektor awam yang seharusnya menjunjung etika berbahasa dalam memberi khidmat kepada masyarakat semakin kurang ditekankan.

            Kesannya, segala nilai negatif seperti sombong, angkuh, bersikap tidak acuh, ego, tidak beradat bahkan kurang ajar berlaku yang boleh membantutkan kelancaran komunikasi. Meskipun kesan kesantunan berbeza-beza mengikut jenis sapaan Kepelbagaian sistem sapaan dalam bahasa Melayu dengan mudah telah menggariskan kepelbagaian fungsi bentuk sapaan yang lebih sesuai dan sopan untuk digunakan bagi menggantikan bentuk sapaan ‘kamu’ iaitu‘ anda’.

            Dalam konteks komunikasi verbal dua hala, berlaku pengucapan sebenarnya boleh menyinggung hati dan perasaan orang lain terutamanya apabila berlaku antara dua peringkat umur yang berbeza. Kadang kala tidak dinafikan bahawa ada sesetengah remaja tidak sedar dengan kesalahan penggunaan kata nama diri kepada orang yang lebih tua. Hal ini berlaku kerana remaja terlalu terikut –ikut dengan pengggunaan kata ganti  nama diri yang tidak sopan dengan kawan –kawan.Kesantunan berbahasa bukan sahaja perlu diamalkan apabila berkomunikasi dengan orang tua malah perlu diamalkan dalam keluarga , antara rakan dan sesiapa sahaja tanpa mengira batas umur kerana  keindahan bahasa yang dipertuturkan melambangkan kemegahan sesebuah bangsa.

           
     Selain untuk menggambarkan sahsiah bangsa, kesantunan berbahasa bertujuan untuk melancarkan komunikasi sosial. Akan tetapi, berlakunya krisis kesantunan berbahasa ini sebenarnya tiada lain akibat pengaruh persekitaran, lakonan masyarakat kita sendiri selain pengaruh media yang dilihat amat mudah mempengaruhi perilaku berbahasa anak-anak muda.  Seringkali juga kita berhadapan dengan situasi tiadanya kesedaran mengutamakan soal hormat dan ketertiban terutamanya dalam kalangan remaja dengan cara mengucapkan salam sapaan tanda hormat sebelum memulakan bicara khususnya dalam situasi tidak formal.

            Pada kebiasaannya,  komunikasi tidak formal tidak terikat kepada peraturan linguistik, yang dipentingkan ialah keselesaan dan kesalingfahaman (cooperative principle) pendengar. Namun begitu, dalam konteks berbahasa tentu sekali menyakitkan hati apabila ada remaja yang berhajatkan sesuatu kepada kita tidak langsung mengucapkan salam terlebih dahulu.Sebenarnya, di mana terjadinya silap dalam membentuk kesantunan berbahasa dalam kalangan ank muda. Dalam hal ini, pendedahan sivik dan pengetahuan sosiolinguistik perlu  diterapkan sejak  di peringkat sekolah rendah agar memberi manfaat kepada pelajar untuk disesuaikan dengan masyarakat luar kelak.

            Secara kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu untuk menerapkan penggunaan bahasa yang sopan dan betul sebelum nasi menjadi bubur. Ibu bapa dan institusi pendidikan sama ada di peringkat sekolah atau IPT perlu memberikan penekanan yang efektif  terhadap aspek kesantunan dalam proses belajar dan mengajarkan bahasa yang seharusnya dilakukan secara bersepadu dan kolektif. Misalnya, penggunaan ragam bahasa yang bersesuaian dengan situasi, mengambil kira bagaimana dan bila kita harus menunggu giliran untuk bercakap atau mencelah dan bila masanya kita harus diam dan mengakhiri sesuatu perbicaraan juga menjadi komponen yang tidak kurang pentingnya dalam objektif kita mewujudkan gaya hidup yang sempurna dan penuh dengan nilai kesantunan agar keperibadian bangsa yang luhur, dihormati dan disegani dapat dikekalkan.

 Sumber : Pensyarah Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Melaka

No comments:

Post a Comment